SOP PRN Sarawak belum dimuktamad

KUCHING 24 Nov. – Garis panduan pencegahan Covid-19 bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas diteliti dan dimuktamadkan semua pihak berkaitan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata ketika ini, prosedur operasi standard (SOP) PRN Sarawak sedang dikemas kini oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Selain itu, beliau berkata, SPR melaksanakan beberapa penambahbaikan pada PRN-12 Sarawak termasuk memansuhkan syarat kelayakan pengundi pos luar negara yang dilaksanakan sebelum ini.

Syarat yang dimansuhkan itu ialah bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand seperti Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun selain Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

Turut dimansuhkan ialah syarat pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh pembubaran DUN berkuat kuasa.

Beliau berkata, SPR turut menyediakan saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas di setiap pusat mengundi.

Tempoh masa pengundian turut dipanjangkan selama 30 minit, bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini.

Bagi pengundi kalangan orang kelainan upaya (OKU) pula, kemudahan mengundi bagi mereka disediakan di Saluran 1.

“Seramai 13,871 pengundi OKU dikenal pasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Related posts

Leave a Comment