Cadang solat jemaah tanpa penjarakan

ISKANDAR PUTERI 24 Nov. – Kerajaan Johor akan membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau negeri ini dilakukan tanpa penjarakan fizikal.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata satu kertas cadangan akan disediakan untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bagi mendapatkan perkenan baginda.

Katanya, beliau akan mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor, minggu depan bagi melengkapkan kertas cadangan itu.

Kertas cadangan itu kemudiannya akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bagi mendapatkan perkenan baginda.

Beliau berkata, ramai masyarakat Islam di Johor menimbulkan persoalan bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu, tanpa penjarakan fizikal selepas Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dua cadangan akan dimasukkan dalam kertas cadangan itu iaitu pertama adalah solat jemaah dengan kapasiti penuh masjid/surau tanpa penjarakan fizikal dan cadangan kedua, solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan sosial

Johor juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mempersembahkan kedua cadangan itu kepada Sultan Ibrahim.

“Insya-Allah, awal Januari depan Johor akan mulakan tatacara SOP baharu solat berjemaah baharu, dan diharapkan cadangan solat jemaah tanpa penjarakan sosial akan dibenarkan MKN dan diperkenan Sultan Johor,” katanya pada sidang media pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Sejak bulan lalu, Johor membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri itu mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Oktober lalu itu, Johor turut membenarkan solat fardhu lima waktu dan solat jenazah pula mengikut kapasiti satu pertiga ruangan solat masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

Related posts

Leave a Comment