34 calon hilang wang deposit

MELAKA 21 Nov. – Semua 22 calon Bebas termasuk “YB Viral” Norhizam Hassan Baktee dan dua parti politik baharu yang membuat penampilan sulung dalam pilihan raya melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) tewas dengan kehilangan deposit.

Secara keseluruhan 34 calon hilang deposit mereka setelah gagal memperolehi satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Selain 22 calon Bebas, turut sama adalah lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), calon tunggal Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), dan masing-masing dua calon dari BN, PN dan PH.

Dua calon PN yang hilang deposit ialah Clarice Chan Ming Wang yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir dan Fong Khai Ling di DUN Kota Laksamana.

Calon BN yang kehilangan deposit ialah Lee Kah Sean yang bertanding di DUN Bandar Hilir dan Benjamin Low Ching Hong di Kota Laksamana, manakala calon PH ialah Zainal Hassan di Tanjung Bidara dan Maznah Baharuddin di Ayer Limau.

Sembilan calon yang memasuki gelanggang melibatkan pertandingan enam penjuru masing-masing di tiga kerusi DUN iaitu Gadek, Asahan dan Duyong, juga hilang deposit.

Mereka ialah Azafen Amin (Bebas); Mohan Singh Booda Singh (Bebas); Laila Norinda Maon (Putra); Mohd Noor Salleh (Bebas); Azmar Abdul Hamid (Bebas); Mohd Akhir Ayob (Bebas); Gan Tian Soh (Bebas); Muhamad Hafiz Ishak (Bebas) dan Mohd Faizal Amzah (Putra).

Dalam PRN Melaka itu, calon PH bagi DUN Kota Laksamana Low Chee Leong memperolehi majoriti terbesar dengan meraih 11,494 undi, manakala calon Bebas di DUN Serkam, Dr Norazlanshah Hazali, memperolehi undi terendah iaitu sebanyak 79 undi.

Related posts

Leave a Comment