PKR gagal menang sebarang kerusi

MELAKA 21 Nov. –  Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyasarkan untuk menguasai tujuh daripada 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka gagal memenangi sebarang kerusi.

Malahan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 juga gagal dipertahankan.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Halim Bachik berkata daripada tujuh kerusi itu, tiga yang akan dipertahankan iaitu DUN Rembia, Kelebang dan Machap Jaya yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita tambah lagi empat kerusi iaitu Paya Rumput, Asahan, Rim dan Lendu,” katanya pada satu sidang media sebelum ini.

Bagaimanapun hasrat itu tidak tercapai malahan Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin turut tewas di DUN Paya Rumput selepas hanya meraih 6,201 undi berbanding lawannya Rais Yasin (BN) yang menang  dengan 6,830 undi.

Rais peroleh majoriti 629 undi, meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Faris Izwan Mazlan yang mendapat 3,972 undi manakala calon

Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Mohamad Hashidi Mohd Zin, yang mendapat 81 undi dan Mohd Jaini Dimon (Bebas) 127 undi, diisytihar hilang deposit.

Selain itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Prasanth Kumar Brakasam yang bertanding di DUN Rim hanya mendapat 2,163 undi,  tewas di tangan Khaidirah Abu Zahar atau dikenali sebagai Dira daripada BN yang mendapat 4,037 undi dengan majoriti 1,327 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, PN yang meletakkan Azalina Abdul Rahman meraih 2,710 undi.

Bekas Ketua Menteri Melaka,  Idris Haron yang bertanding di DUN Asahan mewakili PKR juga tidak berjaya apabila hanya mendapat 2,666 undi.

Pencabarnya, Fairul Nizam, dari BN yang merupakan muka baharu berjaya memperoleh majoriti 2,993 undi, apabila menerima 5,659 undi.

Related posts

Leave a Comment