Ingatan sebelum pulang mengundi

MELAKA 18 Nov. – Pastikan lengkap divaksin dan buat ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Itu nasihat kepada pengundi luar dari Melaka menjelang PRN Melaka bagi membendung penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman, berkata walaupun daripada segi vaksinasi, seseorang individu itu mungkin berhak untuk tidak mengambil vaksin, tetapi risiko kepada ahli keluarga lain harus diambil kira.

Katanya, jika dilihat dari segi prosedur operasi standard (SOP) negeri di Pelan Pemulihan Negara (PPN), hanya mereka yang lengkap vaksin boleh merentas negeri.

Bagaimanapun disebabkan tiada sekatan jalan raya, mereka mungkin boleh terlepas tetapi risiko ibu bapa yang mereka jumpa.

Dalam temu bual dalam rancangan #BICARAKHAS mengenai ‘Undi Dengan Selamat’ di RTM malam tadi, beliau juga mengulas mengenai kompaun yang dikenakan kepada pihak yang menganjurkan kempen PRN Melaka walaupun di kedai makan.

Dr Rusdi berkata,  risiko jangkitan amat tinggi ketika orang ramai duduk makan di gerai, kemudian mereka sembang dekat, berbisik-bisik, mungkin bincang pasal parti.

“Mereka juga duduk lama, datang pula ramai orang nak bergambar dengan pemimpin mereka, duduk dekat-dekat dan saya merasakan kempen cara ini perlu dijauhi,” katanya.

Dr Rusdi juga menasihatkan supaya dua hari berbaki kempen dijalankan dengan kaedah lebih selamat secara dalam talian atau menggunakan kenderaan siar raya bergerak.

Semalam Melaka mencatat 135 kes berbanding 116 kelmarin dengan kes aktif 1,465 menjadikannya kadar insidennya ketiga tertinggi di Malaysia kerana penduduknya tidak ramai.

Kes harian sepanjang dua minggu lepas mencatat 150 hingga 200 kes dan kadar penggunaan katil berada pada 82.3 kes dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pula pada kadar 67.4 peratus manakala nilai Rt pula berada pada paras 0.95 berbanding nilai Rt nasional 1.04.

Related posts

Leave a Comment