Brunei buka semula masjid 19 Nov.

MULAI Jumaat ini, 19 November, semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara Brunei Darussalam akan dibuka semula dalam Fasa Peralihan selepas ditutup berikutan gelombang kedua Covid-19 pada awal bulan Ogos lalu.

Tempat ibadah itu akan mula dibuka untuk sembahyang fardu dan solat Jumaat dengan kapasiti mengikut kesesuaian setiap masjid berkenaan dengan penjarakan antara jemaah adalah sekurang-kurangnya ukuran satu saiz tikar sembahyang.

Tempahan slot bagi menunaikan sembahyang fardhu Jumaat akan mula dibuka menerusi aplikasi BruHealth pada Rabu, 17 November ini, bermula pukul 9 pagi.

Hanya individu yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning serta melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 sahaja akan dibenarkan masuk ke masjid, surau dan balai ibadat.

Berikutan pembukaan semula itu, kerja-kerja pembersihan luar dan dalam bangunan masjid, kerja sanitasi dan penyusunan tanda-tanda bagi penjarakan saf-saf dilaksanakan sebagai persiapan menerima jemaah.

(Foto Pelita Brunei)

Related posts

Leave a Comment