Jangan alpa lihat trend penurunan

PUTRAJAYA 16 Nov. – Kebanyakan petunjuk utama bagi penularan CAovid-19 di negara ini iaitu purata kes aktif, kematian dan kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sedang menunjukkan trend penurunan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt mencatatkan peningkatan harian sejak 6 November lalu.

Ini memberi kesan kes baharu Covid-19 yang juga meningkat, iaitu sebanyak 11 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, sehingga 13 November iaitu Minggu Epidemiologi (ME) ke-45, sebanyak 2,541,147 kes kumulatif Covid-19 dilaporkan dengan 64,047 kes aktif dan 29,631 kes kumulatif kematian.

Situasi ini kekal membimbangkan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana peningkatan kes baharu dan nilai Rt daripada minggu sebelumnya menggambarkan potensi penularan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat dan seterusnya risiko pendedahan yang lebih tinggi untuk dijangkiti oleh virus tersebut.

Katanya, peningkatan nilai Rt berkadar terus dengan peningkatan kes baharu Covid-19 terutamanya jika langkah-langkah pencegahan tidak diamalkan sepenuhnya oleh semua pihak.

“Oleh yang demikian, masyarakat diseru agar tidak alpa dan mengambil tindakan aktif dengan mengamalkan langkah langkah pencegahan demi memastikan jangkitan Covid-19 dapat dikurangkan segera di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes baharu Covid-19 menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus pada ME ke-45 antara 7 hingga 13 November, iaitu daripada 35,303 kes kepada 39,181 kes.

Beliau berkata, purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak lima peratus iaitu daripada 65,573 kes (ME ke-44) kepada 62,224 kes (ME ke-45). Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak 10 minggu lalu.

Katanya, kes kematian pula menunjukkan penurunan sebanyak 1.3 peratus iaitu daripada 380 kes (ME ke-44) kepada 375 kes (ME ke-45) manakala purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 2.0 peratus iaitu 516 kes (ME ke-44) kepada 504 kes (ME ke-4).

“Kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan penurunan sebanyak 13.2 peratus dari 214 kes (ME ke-44) ke 186 kes (ME ke-45).

“Nilai Rt meningkat dari 0.96 ke 1.05 sejak 1 November lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata, sehingga 13 November , terdapat kumulatif 5,840 kluster dan hanya 278 kluster masih aktif iaitu penurunan sebanyak 17 peratus berbanding ME ke–44.

Bagaimanapun beliau berkata, kluster tempat kerja yang sebelum ini mencatatkan trend penurunan sejak ME ke-37 kini mulai meningkat semula pada ME ke-45 selari dengan pergerakan rentas negeri dan pembukaan semula sektor ekonomi sepenuhnya oleh Kerajaan pada Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Dominasi kluster di tempat kerja dijangka terus meningkat sekiranya pematuhan kepada langkah pencegahan tidak dipraktikkan oleh majikan terhadap pekerja mereka.

“Kluster pendidikan juga menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding minggu sebelumnya berikutan penambahan negeri-negeri yang sudah memasuki Fasa 4 PPN yang, membolehkan sesi persekolahan dilaksanakan secara bersemuka di dalam kelas.

Related posts

Leave a Comment