Gagasan Bebas juga ada SD

MELAKA 15 Nov. – Seperti calon parti politik lain, 13 daripada 22 calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bawah Gagasan Bebas juga  menandatangani Akuan Bersumpah (SD).

Setiausaha Sekretariat Gagasan Bebas Mohammad Zaki Omar berkata antara inti pati utama SD tersebut adalah tidak mencabuli mandat yang diberikan pengundi  dengan menyertai mana-mana parti politik.

Beliau berkata, satu rang undang-undang atau enakmen juga akan dibentangkan sekiranya Gagasan Bebas berjaya membentuk kerajaan yang bertujuan mengadakan peruntukan pengosongan kerusi mana-mana ADUN yang keluar parti atau gagasan masing-masing sehingga tahap menjatuhkan kerajaan.

“Jika ada yang mencabulinya, calon diberi masa tiga hari mengosongkan kerusi dan melepaskan jawatan sebagai ADUN atau tindakan mahkamah boleh difailkan ke atas ADUN tersebut,” katanya.

Menyentuh mengenai kempen, beliau berkata semuanya berjalan lancar dengan calon-calon gagasan itu menggunakan pelbagai pendekatan termasuk media sosial bagi mendekati pengundi kawasan masing-masing.

”Untuk manifesto, kita rancang untuk bentangkannya esok dan bagi kami, ia tidak lambat walaupun hari mengundi tinggal beberapa hari sahaja lagi,” katanya.

Calon gabungan  ‘Gagasan Bebas’ itu merangkumi Ariff Adly Mohammad (Telok Mas), Mohd Zahar Hashim (Sungai Udang), Abdul Hamid Mustapah (Bukit Katil), Ahmad Muaz Idris (Ayer Molek), Kamisan Palil (Kuala Linggi).

Dr Norazlanshah Hazali (Serkam), Mohd Akhir Ayob (Asahan), Azefen Amin (Gadek), Mohd Jaini Dimon (Paya Rumput), Azlan Daud (Machap Jaya), Mohd Erfan Mahrilar (Durian Tunggal), Muhamad Hafiz Ishak (Duyong) dan Sabarudin Kudus (Rembia).

Related posts

Leave a Comment