ALOR SETAR 14 Nov – Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih besar kepada penduduk.
Beliau yang tidak menyatakan bilangan lesen premis judi di Kedah ketika ini berkata, mana-mana lesen premis yang telah tamat tempoh selepas ini tidak akan diperbaharui lagi untuk operasi perjudian.
“Saya bukan kata tutup tapi saya tidak bagi lesen premis, mula dengan tidak diberi lesen, kemudian mereka tidak boleh beroperasilah, kita mahu capai sifar judi pada tahun depan,” katanya selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Bagi penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam, beliau berkata, PBT akan memainkan peranan untuk menangani perkara itu kerana ada jenis-jenis minuman dalam tin mengandungi kadar alkohol tertentu dan tidak dikategorikan sebagai arak.
“Ini pun kena tengok undang-undang, perkara-perkara ini kita serah kepada PBT untuk pastikan ia ditangani sebaik-baiknya. Ada kandungan alkohol tertentu yang dimasukkan dalam minuman itu dikategorikan arak, kalau di bawah kadar tertentu tidak termasuk, ini pun undang-undang sedia adalah.
“Kita harap usaha yang kita buat ini mendapat sokongan rakyat. Kita juga berbincang mengenai kedai bebas cukai di Langkawi, premis-premis yang tiada lesen, kita harap tidak lagi akan jual arak secara terbuka, dihadkan penjualannya kepada bukan Islam sahaja,” katanya.
Beliau berkata, tidak ada sesiapa pun yang mengakui bahawa perjudian telah membangunkan tamadun kita dengan begitu cemerlang.
“Sebaliknya diakui semua bahawa perjudian adalah ejen perosak yang besar yang perlu kita tangani.
“Di akhirat nanti, tuhan akan tanya saya aktiviti-aktiviti yang macam ini (judi dan arak) saya buat apa? Saya cakap tak buat apa, saya kena tibai (rotan). Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan, perkara-perkara yang tidak elok untuk semua orang ini, elok kita elakkan,” katanya.
