KUALA LUMPUR 7 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkasi mendakwa golongan yang dilabel beliau sebagai ‘kluster gantung dan pecat’ semakin lantang menghentam UMNO.
Katanya, mereka ini mahu melihat UMNO ranap dan kalah teruk di enam negeri pada pilihan raya negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu yang kesemuanya bukan dipimpin UMNO.
Beliau juga mendakwa tindakan golongan itu yang merujuk pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan sama ada digantung atau dipecat parti sebelum ini, mahu melemahkan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Melalui hantaran di Facebooknya hari ini, beliau mendakwa apabila Zahid lemah, mudahlah mereka ‘masuk balik’ dan menguasai UMNO.
Tanpa menyenaraikan siapa yang dimaksudkan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu bagaimanapun menyebut nama bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa.
Beliau mendakwa, kluster ini tidak berani menubuhkan parti baharu sebaliknya menumpang ‘rumah’ orang lain.
“KJ (Khairy) kata UMNO bungkus di PRN nanti. 50 peratus ahli UMNO akan lari. Annuar Musa pilih Pas,” katanya.
