Manifesto Ikrar PN Untuk Melaka

SHAH ALAM 14 Nov. –  Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Ikrar PN Untuk Melaka, manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan slogan ‘Melaka Bangkit Gemilang’.

Muhyiddin berkata, Ikrar PN Untuk Melaka berteraskan enam tunjang utama, 11 strategi dan 74 pendekatan yang berteraskan suara rakyat.

Katanya, tunjang berkenaan ialah keutuhan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrastruktur serta keteguhan dan kejujuran pentadbiran.

Selain itu, katanya, PN menyediakan ikrar berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan bagi membentuk Melaka sebagai negeri maju, prihatin rakyat dan dipimpin pasukan berintegriti.

Dalam aspek ekonomi, Melaka mempunyai potensi cukup besar untuk dimaju dan dipacu ke tahap jauh lebih tinggi, termasuklah dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan agromakanan serta pelancongan.

PN akan memastikan ekonomi Melaka dibangunkan supaya lebih utuh dan mampan, termasuklah tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi serta fokus kepada pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“PN juga akan memastikan aspek kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi, serta pendidikan setiap lapisan masyakarat diberi perhatian sepenuhnya bagi membina bakat masa hadapan hebat dalam kalangan anak watan Melaka,” katanya di sini, hari ini.

 Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Menerusi Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka, gabungan itu menawarkan enam tunjang utama bagi menjayakannya.

Berikut merupakan enam tunjang Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka.

Tunjang 1: KEUTUHAN EKONOMI

– Bagi melonjakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi

Fokus kepada pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)

– Lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi

Tunjang 2: KEPRIHATINAN KEPADA RAKYAT

– Kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi serta pendidikan untuk setiap lapisan masyakarat

– Pendidikan merupakan asas penting yang wajib diperteguhkan untuk bina bakat masa hadapan

– Dewan Undangan Negeri Belia Melaka akan diwujudkan bagi menggilap generasi pemimpin masa depan

Tunjang 3: KERANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN

– Pendekatan untuk merancakkan semula industri pelancongan di Melaka

– Lebih banyak kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan pelancongan

– Usaha pemulihan industri pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan antarabangsa

Tunjang 4: KELESTARIAN ALAM SEKITAR

– Fokus akan diberikan kepada peningkatan penggunaan teknologi hijau

– Penggunaan tanah secara optimum serta pengurusan sisa pepejal

– Usaha memulih dan memulihara ekosistem kawasan sungai, pesisir pantai dan marin

Tunjang 5: KECEKAPAN INFRASTRUKTUR

– Akan memperkukuh penyediaan infrastruktur yang cekap

– Pembinaan dan naik taraf jalan serta naik taraf sistem saliran dan tebatan banjir

– Perluasan liputan Internet 5G akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot wifi secara percuma disediakan di tempat terpilih

Tunjang 6: KETEGUHAN DAN KEJUJURAN PENTADBIRAN

– Keteguhan dan kejujuran dalam pentadbiran Kerajaan negeri Melaka adalah tunjang penting

– Agenda untuk memperkasa perkhidmatan awam negeri dipergiat melalui pendigitalan

– Pemerkasaan ini juga turut melibatkan tadbir urus yang cekap dan berintegriti

Related posts

Leave a Comment