Thailand suntik 84.09 juta dos vaksin

BANGKOK 13 Nov. – Sebanyak 84.09 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan untuk penduduk Thailand di mana 45.06 juta atau 62.6 peratus dos pertama, 36.28 juta atau 50.4 peratus dos kedua dan 2.74 juta atau 3.8 peratus dos ketiga.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, semalam 773,944 dos telah diberikan meliputi 259,689 dos pertama,, 481,230 dos kedua dan 33,025 dos ketiga di mana setakat ini 54.2 peratus penduduk yang layak telah lengkap vaksinasi.

Jumlah kes harian yang direkodkan hari ini pula adalah 7,057, kurang sedikit berbanding 7,305 yang dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 2,011,331.

Sebanyak 55 kematian dilaporkan melibatkan 27 lelaki dan 28 wanita berumur antara 31 hingga 92 tahun termasuk seorang warga Myanmar.

Selain Bangkok yang merekodkan tujuh kematian, wilayah lain yang merekodkan kematian termasuk di selatan 18 orang, timur laut empat kes dan di utara sebanyak 11 orang.

Daripada  7,057 kes baharu, sebanyak 7,052 adalah jangkitan tempatan manakala 15 adalah kes import dari Malaysia (1), Jerman (1), Poland (1), Singapura (1), Rusia (2), Emiriyah Arab Bersatu (2) dan Kemboja (7).

Pada Jumaat, sebanyak 7,393 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 1,895,929 orang.

Sebanyak 95,413 masih di hospital, di mana 1,818 kritikal dan 430 bergantung kepada bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment