Sahur, iftar melegakan peniaga

KUALA LUMPUR 12 April – Pemilik restoran, gerai, kedai makan, kedai kopi malahan hotel serta pengusaha katering tentunya  lega dengan beberapa kelonggaran berkaitan perniagaan mereka yang diberikan sepanjang bulan Ramadan ini.

Pertamanya operasi perniagaan boleh dilanjutkan sehingga waktu  sahur atau mengikut kebenaran dalam lesen diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang Ramadan.

Kedua, kebenaran mengadakan majlis berbuka puasa termasuk bufet Ramadan dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, langkah pelanjutan masa operasi hingga sahur dapat membantu orang ramai terutama yang masih bujang mendapatkan juadah bersahur.

Sebelum ini, waktu operasi premis berkenaan ditetapkan hanya hingga pukul 12 tengah malam atau mengikut syarat lesen daripada PBT.

Mengenai penganjuran majlis berbuka puasa, sajian secara bufet dibenarkan tetapi penganjur perlu menggunakan khidmat pramusaji untuk menyendukkan makanan selain digalakkan membuat sajian berhidang.

Bagi majlis berbuka puasa yang diadakan di dewan atau ‘ballroom’ hotel, SOP am Majlis Sosial diguna pakai iaitu 50 peratus mengikut kapasiti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan 100 peratus bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagi bufet Ramadan yang diadakan di restoran, ‘coffee house’ dan kedai makan, bilangan kehadiran pengunjung adalah 100 peratus atau mengikut saiz ruang kawasan premis seperti mana SOP pengoperasian kedai makan atau restoran yang sedia ada dan mematuhi penjarakan fizikal.

Beliau berkata, antara SOP am bagi bufet Ramadan dan majlis berbuka puasa termasuk menetapkan dan menandakan secara jelas laluan khas keluar dan masuk tetamu atau pelanggan dan perimeter kawasan majlis atau tempat berbuka puasa terutamanya bagi penganjuran majlis di tempat terbuka atau rumah persendirian.

Tuan rumah juga perlu memastikan kaunter pendaftaran disediakan di pintu masuk bertujuan memastikan bilangan kehadiran, membuat pemeriksaan suhu badan dan mendaftarkan tetamu menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Mereka juga perlu menjalankan pembersihan dan disinfeksi mengikut garis panduan KKM sebelum dan selepas majlis berbuka atau bufet Ramadan di kawasan ruang majlis atau ruang makan, kerusi dan meja, alatan katering, surau, tandas dan mana-mana kawasan, permukaan atau alatan atau barangan yang kerap disentuh.

Mereka perlu memperbanyakkan tempat hidangan bufet bagi mengelakkan tetamu atau pelanggan tertumpu atau bersesak di satu-satu tempat sahaja.

Related posts

Leave a Comment