Penggunaan katil ICU Terengganu 84 %

KUALA TERENGGANU 12 Nov. – Kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di Terengganu setakat ini mencapai 84 peratus berikutan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 kategori lima sejak dua minggu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Kasemani Embong berkata sehingga kini, 28 katil atau 84 peratus daripada 33 katil ICU yang ada sudah digunakan bagi merawat pesakit.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjangkakan berlaku peningkatan kes susulan kebenaran rentas negeri dan peralihan Terengganu daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Di Terengganu, kita ada sebanyak 25 katil ICU (sebelum ini) tetapi beberapa wad ditukarkan menjadi wad ICU dan menjadikan katil yang ada adalah sebanyak 33 katil kerana situasi pandemik Covid-19.

“Kita sudah buat persediaan awal sekiranya berlaku peningkatan luar jangka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Wad ICU Hybrid di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Dr Kasemani berkata, penyerahan wad ICU berkapasiti 10 katil itu dapat membantu pihaknya menampung kemasukan pesakit Covid-19 di Terengganu.

Katanya, wad berkenaan akan mula digunakan minggu depan dan penyerahan itu menjadikan terdapat 43 katil ICU di seluruh Terengganu.

Sementara itu, Dr Kasemani berkata, setakat ini pihaknya menganggarkan seramai 324,000 individu termasuk kira-kira 30,000 petugas barisan hadapan di Terengganu akan menerima dos penggalak Covid-19.

Related posts

Leave a Comment