KKM pantau R-Naught meningkat

PUTRAJAYA 12 Nov. – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan Covid-19 (R-Naught) Malaysia meningkat kepada angka 1.0, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya, Khairy turut menggesa individu yang diberi temu janji dos penggalak Covid-19, supaya mengambil dos berkenaan.

“Warga emas, jika boleh, perlu mengelakkan tempat yang sesak. Amalkan #TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera),” ciap beliau.

Nilai R-Naught merujuk kepada tahap keberjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melalui catatan di akaun Twitter beliau menyifatkan peningkatan semula kadar kebolehjangkitan bermakna kes harian semakin mendatar.

“Kebimbangan kita (KKM) adalah jika ia (kes harian) kembali meningkat,” katanya.

Justeru beliau menggesa orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kumpulan rentan dinasihatkan supaya mendapatkan segera dos penggalak apabila janji temu diberi.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif Covid-19 negara selama empat hari berturut-turut apabila sebanyak 6,323 kes baharu Covid-19 dicatatkan Khamis.

Sebelum itu, kes harian Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend penurunan dengan 4,343 kes baharu dicatat pada Ahad sebelum ia meningkat semula mulai Isnin sehingga hari ini.

Related posts

Leave a Comment