Brunei masuki Fasa Peralihan 19 Nov.

BERAKAS 9 Nov. – Brunei Darussalam yang ketika ini menguatkuasakan Operasi Pulih akan beralih kepada Fasa Peralihan bermula 19 November sebaik sahaja negara mencapai liputan vaksinasi penuh 70 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II,  Dr. Awang Mohd. Amin Liew Abdullah ketika mengumumkan demikian berkata, Fasa Peralihan adalah satu fasa di mana langkah-langkah pengawalan yang telah dilaksanakan sebelum ini akan mula dikurangkan secara berperingkat.

Pengurangan sekatan dilaksanakan mengikut garis panduan yang disesuaikan yang bertujuan mengawal lebih baik serta mengelakkan kesan jangkitan yang teruk melalui pelaksanaan strategi seperti pemberian vaksin penggalak atau ‘booster vaccination’; pembukaan premis dengan kapasiti yang terhad dan keutamaan kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap.

Katanya, di bawah fasa itu, pembukaan semula pejabat kerajaan bagi pegawai dan kakitangan yang telah melengkapkan vaksinasi dengan mengikut waktu pejabat.

Pada masa sekarang iaitu dari pukul 8 pagi hingga 2 petang dan membuat ujian saringan Antigen Rapid Test (ART) secara berkala iaitu setiap dua minggu.

Pembukaan masjid, surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara,  bagi individu yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan had keramaian adalah tertakluk kepada jumlah yang sesuai mengikut penjarakan fizikal.

Begitu juga pembukaan semula fasiliti kesukanan,  premis perniagaan seperti restoran, kafe, ‘foodcourts’, panggung wayang, arked, taman permainan tertutup, premis kecantikan (seperti salon dan kedai gunting), pasar dan tamu bagi individu yang telah melengkapkan vaksinasi dengan dihadkan kepada 50 peratus kapasiti tempat atau tidak lebih dari 200 orang (di mana lebih rendah).

Pihak pengurusan juga dikehendaki mematuhi garis panduan atau SOP dengan mengemaskinikan senarai pekerja dalam aplikasi BruHealth dan memastikan pekerja-pekerja mereka juga telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Selain itu, premis-premis adalah dikehendaki mendaftar Kod QR masing-masing di dalam BruHealth dengan had kapasiti masing-masing di mana premis-premis tidak dibenarkan menerima pelanggan setelah mencapai had 50 peratus kapasiti tersebut.

Beliau juga mengingatkan para pemilik premis untuk sentiasa memastikan semua individu yang memasuki premis mengimbas Kod QR aplikasi BruHealth mereka sebelum memasuki premis (termasuk semua pekerja / kakitangan / sukarelawan).

Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka (kecuali ketika makan atau minum), melakukan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter selain membuat pemantauan kesihatan diri dan ujian ART berkala serta memastikan premis mempunyai pengudaraan yang mencukupi.

Bagi perkumpulan di rumah-rumah persendirian semasa fasa ini adalah dibenarkan bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan dihadkan kepada 10 ke 30 orang sahaja (tertakluk kepada saiz tempat kediaman).

Beliau juga memaklumkan, pembukaan sebahagian sekolah bagi individu yang telah melengkapkan vaksinasi dan membuat ujian saringan ART secara berkala setiap dua minggu iaitu bagi institusi pengajian tinggi; sekolah teknikal dan kemahiran dan sekolah memandu.

“Manakala bagi yang tidak dapat mendapatkan vaksinasi atas sebab kesihatan (medically- exempted) adalah tidak dibenarkan memasuki mengunjungi premis di atas,” katanya.

Syarat vaksinasi mandatori pula melibatkan tenaga pengajar, pekerja-pekerja persekolahan lain (non-teaching staff), petugas dan penjaga di sekolah-sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak, pelatih-pelatih dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai sebab-sebab kesihatan seperti alahan akan dikecualikan daripada syarat ini iaitu berdasarkan pengesahan perubatan yang diberikan.

Sementara itu, perancangan dan persiapan pembukaan sekolah masih di dalam penelitian Jawatankuasa Pandu, dengan mengambil kira aktiviti Program Vaksinasi Kebangsaan masih dijalankan bagi remaja di peringkat umur 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak di bawah 12 tahun masih belum divaksinasi.

Tatacara pelaksanaan pembukaan sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak dan institusi pengajian lain akan diumumkan sebaik saja Jawatankuasa Pandu Covid-19 selesai meneliti perancangannya.

Related posts

Leave a Comment