250 juta kes, lima juta kematian global

LEBIH 250 juta kes jangkitan Covid-19 direkodkan di seluruh dunia sejak pandemik itu tercetus tahun lalu manakala lebih lima juta kematian direkodkan setakat ini, berdasarkan laporan rasmi dikeluarkan semalam, demikian menurut satu laporan dari Paris.

Laporan disediakan pihak berkuasa kesihatan setiap negara itu menyatakan sebahagian besar mereka yang dijangkiti Covid-19 berjaya pulih tetapi sebahagian lagi mengalami gejala beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian.

Sebilangan besar kes yang kurang teruk atau tanpa gejala masih tidak dapat dikesan walaupun ujian saringan diperhebatkan di banyak negara sejak wabak itu menular.

Eropah adalah rantau yang mempunyai jumlah jangkitan tertinggi, mencatatkan lebih 76 juta kes sejak wabak maut itu di kesan China pada Disember 2019

Benua kedua paling terjejas adalah Asia dengan 56,201,653 kes, diikuti Amerika Syarikat (AS) dan Kanada (48,290,522 jangkitan) dan Amerika Latin dan Kepulauan Caribbean (46,107,131).

Bilangan kes baharu di seluruh dunia meningkat secara perlahan sejak beberapa minggu lalu namun hampir 449,000 jangkitan harian baharu direkodkan secara purata sejak tujuh hari lalu, berbanding lebih 400,000 pada pertengahan Oktober.

Daripada jangkitan baharu yang direkodkan di seluruh dunia, lebih 60 peratus dilaporkan di Eropah, yang menyaksikan purata 279,000 kes sehari direkodkan sejak tujuh hari lalu.

Sementara itu data terbaru oleh Universiti Johns Hopkins menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling terjejas dengan lebih 46.5 juta kes dilaporkan secara keseluruhan.

Ini diikuti oleh India dengan lebih 34.3 juta kes dan Brazil lebih 21.8 juta kes.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendahului dengan lebih 4.2 juta kes diikuti Filipina lebih 2.8 juta kes, Malaysia lebih 2.5 juta kes dan Thailand dengan 1.9 juta kes dan

Singapura mencatatkan lebih 220,000 kes.

Angka korban Covid-19 global pula melebihi 5.05 juta dengan AS kekal mencatatkan jumlah kematian tertinggi melebihi 755,000 kes.

Ini disusuli dengan Brazil yang melaporkan lebih 609,000 kes, India lebih 461,000 kes dan Mexico dengan lebih 289,000 kes.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mencatatkan angka korban tertinggi dengan lebih 143,000 kematian, Filipina  dengan lebih 44,000 diikuti Malaysia dengan 29,000 kes.

Related posts

Leave a Comment