Penganjur kempen PRN dikompaun

PUTRAJAYA 2 Nov. – Dua penganjur aktiviti berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dikompaun RM24,000 kerana gagal memastikan pematuhan penjarakan fizikal individu yang menghadiri program berkenaan.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya berkata, kompaun pertama bernilai RM20,000 diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang turut membabitkan kehadiran Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Kompaun kedua sebanyak RM4,000 dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri oleh Najib Razak.

Kementerian berkata, kompaun itu dikeluarkan berdasarkan pemantauan dan siasatan yang dijalankan oleh pegawai diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan hasil siasatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati bahawa tiada aktiviti berbentuk perhimpunan berkaitan PRN Melaka diadakan, namun ia hanyalah lawatan yang lebih berbentuk ‘walkabout’ oleh dua individu berkenaan.

Kelmarin, Ahli Parlimen Iskandar Puteri DAP, Lim Kit Siang mendakwa pihak berkuasa mengamalkan dua darjat selepas mengenakan kompaun RM10,000 kepada PKR walaupun parti itu mengadakan ceramah tanpa kehadiran orang ramai secara fizikal di Melaka.

Beliau berkata, ia berbeza dengan Najib dan Muhyiddin kerana belum dikenakan tindakan undang-undang selepas melakukan aktiviti sama secara bersembunyi.

Related posts

Leave a Comment