Warisan Sabah ‘hilang lagi kerusi’

KOTA KINABALU 30 Okt. – Parti Warisan Sabah (Warisan) ‘hilang’ satu lagi kerusi apabila Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama turut mengumumkan menjadi ADUN Bebas mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohamaddin pemimpin kedua Warisan meninggalkan parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal itu dalam bulan ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Dr Yusof Yacob pada 8 Oktober lalu.

“Saya hanya akan menjadi Ahli Parlimen Bebas sepenuhnya di peringkat Persekutuan,” kata bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mohammadin memberi alasan keputusannya dibuat berikutan kurangnya pembangunan di peringkat negeri serta Parlimen dan percaya keadaan itu akan berterusan jika beliau terus kekal dalam blok pembangkang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Warisan menang sembilan kerusi Parlimen di Sabah, bagaimanapun satu kerusi kini kosong susulan penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober tahun lalu.

Ketika ini masih ada tujuh ahli Parlimen Warisan iaitu Shafie Apdal (Semporna),  Darell Leiking (Penampang), Rozman Isli (Labuan), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan),

Ahmad Hassan (Papar), Azis Jamman (Sepanggar) dan Munirah Majilis (Kota Belud).

Di DUN Sabah, Warisan masih mempunyai 19 ADUN selepas tiga orang iaitu Yusof dan Mohamaddin serta Hassan Gani (Sebatik) meninggalkan Warisan manakala Manis Muka (Bugaya) meninggal dunia.

Related posts

Leave a Comment