Tonga catat kes pertama Covid-19

TONGA akhirnya mencatat jangkitan sulung Covid-19 yang dikesan pada seorang individu yang menjalani kuarantin selepas pulang ke Tonga melalui penerbangan dari New Zealand.

Individu yang dikesan positif Covid-19 itu telah menerima suntikan kedua vaksin berkenaan pada pertengahan Oktober lalu.

Pesawat dinaikinya turut membawa pulang ahli pasukan Olimpik Tonga yang terkandas di Christchurch sejak temasya sukan di Tokyo itu.

Atlet terbabit selesai menerima dua dos vaksin Covid-19 sebelum berlepas ke temasya sukan berkenaan.

Sementara itu Perdana Menteri, Pohiva Tuionetoa, memberi amaran bahawa penduduk di pulau utama negara ini, Tongatapu, berkemungkinan akan dikenakan perintah berkurung pada minggu depan selepas berikutan kes pertama itu.

“Perintah berkurung tidak dilaksanakan pada hujung minggu ini kerana saya dinasihatkan bahawa virus itu akan mengambil masa lebih tiga hari untuk membiak dalam diri seseorang yang dijangkiti, sebelum ia boleh berjangkit.

“Kita harus menggunakan masa yang ada ini untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan lebih ramai orang bakal disahkan positif,” kata Tuionetoa.

Sebelum ini, Tonga merupakan antara hanya sebilangan kecil negara di dunia yang terlepas daripada ancaman virus berkenaan.

Sebahagian besar daripada keseluruhan jumlah 106,000 penduduk Tonga tinggal di Tongatapu, manakala kurang satu per tiga pula sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19.

Kementerian Kesihatan New Zealand mengesahkan individu dijangkiti itu sudah menjalani ujian saringan dengan keputusan negatif sebelum berlepas dari Christchurch.

Semakan di laman web WHO menunjukkan sejak 3 Januari 2020 hingga 4:40 petang CEST, 29 Oktober 2021, tiada kes dilaporkan dan sehingga 24 Oktober 2021, sebanyak 91,707 dos vaksin didaftarkan.

Related posts

Leave a Comment