GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, kekal menjadi calon tunggal untuk terus mengetuai agensi itu, selepas penggalnya berakhir pada Ogos 2022.
Menurut WHO, Tedros , bekas Menteri Kesihatan dan Luar Ethiopia berusia 56 tahun itu mendapat sokongan 28 negara, termasuk Perancis, Jerman, Indonesia, Belanda dan Sepanyol.
Beliau dipilih pada tahun 2017 dan menjadi warga Afrika pertama mengetuai agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Beliau menjadi wajah WHO sejak permulaan pandemik Covid-19 dan popular kerana peranannya dalam mengemudi usaha pertubuhan bagi penyelarasan tindak balas pandemik.
Bagaimanapun, pencalonannya menjadi rumit selepas Ethiopia mendakwa menarik balik sokongannya susulan konflik di wilayah asalnya di Tigray.
Calon untuk jawatan tertinggi badan kesihatan PBB biasanya dicalonkan negara asal mereka.
Tedros menimbulkan kemarahan kerajaan Addis Ababa dengan menggunakan pentas WHO bagi mengutuk tindakan keras di Tigray.
Negara anggota secara rasmi akan mengundi ketua WHO seterusnya dalam undian rahsia pada Mei depan ketika Perhimpunan Kesihatan Sedunia, mesyuarat tahunan utama pertubuhan itu yang membabitkan semua negara anggota.
Tarikh akhir pencalonan ialah pasa 23 September lepas.
