Bajet 2022 garis tiga fokus induk

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Bajet 2022 bernilai RM332.1 bilion dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini dengan menggariskan tiga fokus induk yang merangkumi rakyat yang sejahtera, perniagaan berdaya tahan dan ekonomi makmur serta mampan.

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ bajet itubbersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, dibentangkan dengan jumlah RM332.1 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan dokumen penting itu di Dewan Rakyat petang ini, berkata, kerajaan bercadang membahagikan peruntukan belanjawan tahun depan kepada empat komponen utama.

Ia meliputi belanja mengurus sebanyak RM223.5 bilion, RM75.6 bilion bagi belanja pembangunan, RM23 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19 dan RM2 bilion dikategorikan sebagai simpanan luar jangka.

Sungguhpun ini bajet mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 6.5 peratus pada 2021.

“Mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, di samping jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi 2022 kepada RM234 bilion, kerajaan akan terus menyediakan bajet yang mengembang,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Bajet 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini, selain ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah belanjawan terangkum, mampan serta seimbang.

Seperti tahun lalu, katanya, Bajet 2022 dirangka dengan mengekalkan tradisi keterbukaan pasukan Kementerian Kewangan (MOF) hasil siri turun padang dan jelajah negeri, perbincangan bersama lebih 30 sesi kumpulan fokus, selain mengkaji lebih 1,100 memorandum dan penerimaan hampir 50,000 cadangan melalui portal Bajet 2022.

“Lebih bermakna, Bajet 2022 dirangka selepas 80 sesi sumbang saran bersama ahli Yang Berhormat merentasi doktrin politik, tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang. Kita semua bermusyawarah, bertukar-tukar pandangan dan sama-sama memikir kemaslahatan negara.

“Tidak cukup dengan itu, bagi meningkatkan ketelusan penyediaan bajet tahunan, buat julung kalinya pasukan MOF menerbitkan kenyataan Prabajet 2022 dan empat kertas konsultasi awam merangkumi topik berhubung penambahbaikan perolehan kerajaan, pemberian bantuan tunai, insentif cukai serta tanggungjawab fiskal.

“Saya rakamkan jutaan penghargaan kepada semua pihak yang meluangkan masa dan mengemukakan idea serta pandangan. Pada kami di MOF, inilah bukti kebersamaan kita dalam mengharungi hari-hari mendatang sebagai sebuah keluarga.

“Tahun hadapan, tumpuan kita semestinya adalah untuk memulih semula setiap segmen sosioekonomi negara. Usaha untuk membina daya tahan turut digerakkan bagi mengukuh keupayaan perniagaan dan sistem kesihatan dalam mendepani cabaran mendatang.

“Akhirnya, melangkah ke hadapan, instrumen pembaharuan akan mula dilaksana supaya seiring landskap dunia teknologi tanpa sempadan serta agenda kelestarian,” katanya.

Related posts

Leave a Comment