Malaysia beli 88 juta dos ketiga

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Kerajaan menandatangani perjanjian perolehan bekalan pelalian meliputi 88 juta dos atau lebih 140 peratus daripada jumlah penduduk negara, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, bekalan vaksin berkenaan cukup untuk menampung pengagihan suntikan imunisasi asas dan pemberian dos ketiga untuk semua penduduk Malaysia berusia 12 tahun ke atas.

Bagi memastikan ‘peperangan’ menentang pandemik berupaya diharungi, kerajaan bercadang untuk melaksanakan pembelian ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai jenis virus, termasuk Covid-19.

Mengambil kira kepentingan sektor kesihatan awam, Bajet 2022 memperuntuk RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan, iaitu dana kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan.

Peperangan menentang COVID-19 belum berakhir. Justeru, tambahan RM4 bilion disediakan khusus untuk meneruskan agenda menangani COVID-19 yang merangkumi RM2 bilion bagi membiayai program vaksinasi, manakala RM2 bilion lagi untuk tingkatkan kemudahan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, peralatan pelindung diri (PPE) dan kit kesihatan.

“Malah, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa bagi membekalkan dos ketiga, sebagai vaksin penggalak kepada semua dewasa di samping meneruskan imunisasi kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Related posts

Leave a Comment