Lengkapkan vaksinasi sebelum 1 Nov.

PUTRAJAYA 28 Okt. – Semua penjawat awam diingatkan supaya melengkapkan vaksinasi Covid-19 masing-masing sebelum 1 November ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata, ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil berbanding majoriti yang telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Bagaimanapun katanya, keengganan kelompok kecil itu tetap memberi implikasi terhadap program vaksinasi kerajaan dan menggambarkan imej negatif penjawat awam secara keseluruhan, selain menjejaskan penyampaian perkhidmatan.

“Penjawat awam seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab dalam menyokong usaha kerajaan dan memberi keyakinan kepada orang ramai tentang keberkesanan program vaksinasi yang dijalankan,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) secara maya hari ini.

Pada majlis itu beliau turut mengingatkan bahawa semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].

Dalam satu pekeliling dinyatakan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang gagal melengkapkan imunisasi Covid-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan apabila dasar baharu berhubung imunisasi melibatkan penjawat awam dilaksanakan mulai 1 November ini.

Related posts

Leave a Comment