Kes harian turun di Malaysia

PUTRAJAYA 25 Okt. – Jumlah kes jangkitan Covid-19 terus mencatat penurunan apabila 4,782 kes baharu direkodkan, angka terendah yang dicatatkan dalam tempoh 125 hari, iaitu sejak 22 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan 2,436,498 kes sejak dikesan pada awal Januari tahun lalu.

Katanya, sebanyak 4,575 kes penularan tempatan membabitkan warganegara (96.0 peratus) dan 192 bukan warganegara (4.0 peratus), manakala 13 daripada 15 kes import ialah rakyat Malaysia dan dua lagi warga asing.

Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 607 kes dan 300 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada 4,782 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 96 kes (2.0 peratus) kategori 3, 4, dan 5; dan 4,686 kes (98.0 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan turut mengesan enam kluster jangkitan baharu menjadikan sejumlah 5,728 kluster Covid-19 setakat ini, dengan 5,200 sudah ditamatkan dan 528 kluster masih aktif.

Tiga daripada kluster kes yang dikesan hari ini membabitkan kluster tempat kerja iaitu Sri Kota Pontian, Jalan Latar Puri dan Jalan Pak Mayong, dan masing-masing satu kluster komuniti (Dah Damai); Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (Dah Merbok) dan Pendidikan Tinggi (Jalan Labohan).

Sementara itu, sebanyak 7,414 kes dilaporkan sudah pulih, menjadikan 2,334,783 atau 95.8 peratus kes sembuh.

Related posts

Leave a Comment