JUMAAT : BERILAH PENJELASAN TERBAIK

HARI ini apabila kebanyakan masjid menambah kapasiti jemaah untuk solat Jumaat, ada juga jemaah yang kecewa dan sedih kerana masjid dan surau di tempat mereka tidak tersenarai. Maksudnya, hanya boleh melakukan solat Zuhur, itu pun melibatkan jumlah kecil, 12 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa.

Hari ini, adalah hari ke-13, kebanyakan orang tidak berpeluang menunaikan solat Jumaat, bermula 20 Mac lalu.

Semakin membingungkan apabila pelbagai kaedah digunakan dalam pemilihan masjid, kecuali bagi kawasan kuning atau merah. Dalam erti kata lain tidak sama antara negeri  walaupun bidang kuasa agama ada pada negeri. Ada yang jemaah ditetapkan 40 orang dan ada yang mengikut peratusan keluasan dewan solat.

Kenapa begitu jadinya? Masjid yang ‘hebat’ namanya, menang pelbagai anugerah itu dan ini belum boleh solat Jumaat atau berjemaah sekurang-kurangnya 12 orang. Sedikit sebanyak timbul rasa ‘cemburu’ dan kecewa kerana jiran di taman sebelah yang jarak masjid tiga empat kilometer sahaja sudah boleh solat Jumaat.

Bagi orang awam memang sukar untuk menjawab persoalan ini jika ditanya. Kecuali jika yang menjelaskan itu menteri yang berkaitan atau pihak berkuasa kesihatan. Jika yang menjawab itu hanya ahli jawatankuasa masjid maka jemaah kurang yakin kerana jawapan yang diberi itu juga tidak mampu memberi kepuasan.

Jawapan sekadar bersabar, tunggu keputusan pihak berkuasa bukanlah sesuatu yang mampu memuaskan hati. Lebih-lebih lagi, apabila ada pula yang mengaitkan jika penjarakan sosial diambil kira di masjid yang besar dan luas, bagaimana pula kebenaran yang diberi kepada pengangkutan awam?

Isu yang membezakan antara situasi inilah yang perlu dijelaskan. Untuk rekod, perkhidmatan bas pekerja dan pelancong dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh. Begitu juga dengan pengangkutan awam termasuk bas awam, feri, kereta api, transit aliran ringan (LRT). Penumpang pesawat juga tidak lagi mengikut penjarakan sosial.

Mujurlah di Masjidilharam, masjid dibuka untuk pegawai dan kakitangan sahaja, jika tidak masyarakat kita akan mengaitkannya dengan masjid di negara ini. Tetapi sekurang-kurangnya hari ini banyak masjid telah menerima kaedah yang diguna pakai oleh Masjid Nabawi di Madinah, iaitu kapasiti ikut peratusan keluasan.

Masyarakat rata-rata keliru dengan kaedah yang diguna bagi menentukan mana satu masjid dibenarkan. Apakah kriteria dalam pemilihan masjid?

Kita sedar pihak berkuasa begitu teliti dan berhati-hati untuk ‘membuka semula’ pintu masjid kepada orang awam. Pasti ada asasnya. Mereka tidak mahu terburu-buru supaya sebarang kepincangan jika berlaku akhirnya akan dipersalahkan di bahu mereka. Lazimnya, jika ada yang tidak baik berlaku, mulalah tuding jari.

Apa pun alasannya, pihak berkenaan perlu menjelaskan situasi ini supaya orang ramai yang sudah lama merindui masjid dapat memahami keadaan sebenar. Kita tidak mahu ada yang menuding jari kepada jawatankuasa masjid atau surau sehingga akhirnya boleh menimbulkan fitnah.

Justeru tampillah memberi penjelasan yang meyakinkan.

Related posts

Leave a Comment