42 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 24 Okt. – Jumlah  kematian harian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini terus mencatat penurunan apabila 42 kes direkodkan pada Sabtu berbanding 78 pada hari sebelumnya.

Data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW menunjukkan daripada jumlah itu, 10 kes membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan atau brought-in-dead (BID).

Berikutan ini, setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 mencecah 28,354 atau kira-kira 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,420 juta kes positif di negara ini.

Jumlah keseluruhan kes BID pula meningkat kepada 5,728, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kematian akibat Covid-19.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) terus mencatat penurunan sejak awal September lalu.

Terdapat 620 kes aktif di ICU seluruh negara ketika ini berbanding lebih 1,500 pada hujung Ogos lalu.

Kadar penggunaan ICU di hospital kerajaan seluruh negara ketika ini ialah 64.6 peratus, kecuali empat negeri masih merekodkan kadar melebihi 70 peratus iaitu Terengganu (76.3 peratus), Melaka (74.2 peratus), Sarawak (72.3 peratus) dan Kelantan (72.0 peratus).

Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan turut mencatat penurunan sejak dua bulan lalu dengan mencatat 297 kes setakat semalam berbanding lebih 900 kes pada awal Ogos lalu.

Related posts

Leave a Comment