166 kes baharu, satu kematian di Brunei

BERAKAS 20 Okt. – Satu kematian dan 166 kes baharu Covid-19 direkodkan Brunei Darussalam hari ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang meninggal dunia 51 orang serta 11,386 kes jangkitan.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Md Isham Jaafar kes kematian terbaharu melibatkan lelaki berusia 53 tahun yang mengalami masalah paru-paru selepas dijangkiti Covid-19 dan dirawat di unit rawatan intensif.

Terdapat 55 kes tambahan baharu bagi 17 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Bercakap pada sidang media situasi Covid-19 hari ini,  Dr. Md Isham berkata, satu kluster baharu dikesan dengan sembilan kes. Kluster Anggerik Desa Staff House itu merupakan rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

Dua kluster ditutup – Kluster 4571 dan Kluster 5289 – selepas tiada laporan kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari yang menjadikan jumlah kluster aktif setakat ini 165.

Beliau juga memberitahu, 102 kes baharu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Pada masa yang sama sebanyak 198 kes dilaporkan sembuh yang membawa kepada 8,619 pesakit pulih manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 2,688.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, lima kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO).

Sementara itu, 21 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,000 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 454,179 ujian.

Related posts

Leave a Comment