Solat ikut kapasiti masjid di Kedah

ALOR SETAR 18 Okt. – Mulai hari ini, Kedah membenarkan solat fardu dan Jumaat dengan kehadiran jemaah mengikut keluasan masjid dengan syarat mereka lengkap divaksin serta mematuhi penjarakan satu meter.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kadar vaksinasi penduduk Kedah melebihi 80 peratus selain kes Covid-19 negeri sudah menurun.

Katanya, pada masa yang sama kadar penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital juga menurun kepada 50 peratus, serta Kedah turut beralih ke Fasa Tiga, Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, wirid, doa dan solat sunat dibenarkan dengan masa yang singkat dan hendaklah beredar selepas menyempurnakannya.

Bagaimanapun, amalan beriktikaf selepas solat di masjid dan berkumpul selepas solat tidak dibenarkan.

Mohd Yusri berkata, program keagamaan seperti kuliah selepas Maghrib hingga Isyak, kuliah Subuh, bacaan Yasin malam Jumaat dan tazkirah sebelum solat Jumaat dibenarkan dengan tidak melebihi satu jam.

Katanya, penyampai kuliah hendaklah sudah lengkap divaksin dengan kapasiti jemaah mengikut ketetapan had solat fardu dan Jumaat.

Semua aktiviti solat dan kuliah mestilah dengan jarak fizikal satu meter dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Aktiviti kemasyarakatan seperti program khas, jamuan, kenduri, gotong-royong, aktiviti menyediakan makanan iaitu memasak di kawasan masjid juga tidak dibenarkan.

Bagaimanapun makanan boleh diedarkan secara berbungkus dan dilakukan oleh petugas sahaja.

Mohd Yusri berkata, solat jenazah bukan Covid-19 juga dibenarkan mengikut ketetapan solat fardu dan solat Jumaat, manakala pengurusan pengebumian, talkin dan doa dibenarkan mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan tidak kurang satu meter.

Amalan ziarah kubur dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Related posts

Leave a Comment