Brunei catat kes harian tertinggi

BERAKAS 17 Okt. – Brunei Darussalam hari ini mencatatkan rekod kes harian tertinggi apabila menambah 504 kes baharu dengan enam lagi meninggal dunia yang membawa kepada jumlah keseluruhan 10,860 dan 49 kematian.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, lima kematian melibatkan tiga lelaki (berusia 49, 63 dan 61) serta dua wanita (58 dan 73) manakala seorang wanita berusia 62 mengalami masalah kesihatan yang lain.

Katanya, terdapat 208 kes tambahan baharu bagi 30 kluster aktif yang sebelum ini menjadi kontak rapat beberapa kes positif.

Beliau juga memaklumkan empat kluster baharu dikesan dengan merekodkan 93 kes, kesemuanya kluster kediaman dengan tiga kluster asrama pekerja.

Sebanyak tiga kluster ditutup berikutan tiada sebarang kes dilaporkan dalam tempoh 28 hari dan ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 170.

Menurut Dr Md Isham, sebanyak 203 kes baharu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan.

Pada masa yang sama, sebanyak 195 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 8,045 dengan 2,741 kes aktif.

Dalam kalangan kes di Pusat Pengasingan Kebangsaan, tujuh kes dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO).

Sementara 29 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Related posts

Leave a Comment