Kaji keperluan wajibkan vaksinasi

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Kerajaan masih mengkaji keperluan untuk mewajibkan pengambilan suntikan vaksin Covid-19 sebelum dibawa ke Kabinet untuk dimuktamadkan.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata, walaupun pengambilan pelalian itu belum diwajibkan, namun beliau menggesa semua pihak berbuat demikian demi kebaikan bersama.

Setakat ini, katanya, jumlah yang enggan mengambil vaksin Covid-19 bukan atas sebab kesihatan hanyalah kira-kira satu peratus.

“Ramai yang marah kenapa kita nak memaksa dan menghukum (yang tidak mahu vaksin). Saya nak beritahu setakat semalam sudah 92 peratus (rakyat dewasa) mendapat vaksin, yang mendapat satu dos sudah 95 peratus,” katanya.

Beliau berkata, yang enggan divaksin hanya lebih kurang satu peratus.

“Dari segi prinsip kerajaan, kita menjaga kepentingan ramai berbanding melindungi kepentingan (kelompok) yang sangat sedikit,” katanya. dalam sidang media selepas meninjau penyelenggaraan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, pagi ini.

Related posts

Leave a Comment