Rakyat, PR dikecuali kuarantin

SYDNEY: Hanya rakyat dan penduduk tetap negara itu serta keluarga mereka yang berada di luar negara dikecualikan menjalani kuarantin apabila pulang ke wilayah New South Wales, kata Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.

Bagaimanapun mereka mesti sudah lengkap divaksin.

Beliau menjelaskan demikian semalam selepas Ketua Menteri New South Wales, Dominic Perrottet mengumumkan mereka yang datang dari luar negara ke wilayah itu tidak perlu menjalani kuarantin 14 hari jika sudah lengkap divaksin dan disahkan negatif Covid-19 sebelum menaiki pesawat ke Sydney.

Peraturan itu bermula bulan depan.

Perrottet berkata kelonggaran itu dapat dilaksanakan kerana kadar vaksinasi tinggi di wilayah tersebut.

Beliau juga berkata langkah membuka semula New South Wales akan membolehkannya terhubung semula dengan dunia luar dan ia amat baik bagi sektor pelancongannya.

Sebahagian besar sekatan ketat Covid-19 di wilayah itu ditarik balik pada Isnin lalu selepas 70 peratus penduduknya lengkap divaksin.

Baki sekatannya akan dibatalkan apabila kadarnya 80 peratus, dijangka dapat dicapai pada hujung minggu ini.

 

Related posts

Leave a Comment