Jangkitan Tibi meningkat semula

GENEVA 15 Okt. – Kes jangkitan tuberkulosis (Tibi) global meningkat semula untuk pertama kalinya sejak sedekad lalu, ekoran gangguan terhadap akses penjagaan kesihatan disebabkan pandemik Covid-19.

Perkembangan ini menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus adalah satu berita membimbangkan.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, dunia terpaksa bertindak segera bagi pelaburan dan inovasi untuk menutup jurang diagnosis, rawatan dan penjagaan bagi berjuta-juta individu yang dijangkiti penyakit kuno ini.

Dalam laporan tahunan Tibi 2020, WHO memberitahu usaha mengawal penyakit itu mula merosot disebabkan peningkatan jumlah kes yang tidak didiagnosis dan dirawat dengan sempurna.

WHO menganggarkan sekitar 4.1 juta individu menghidap Tibi namun belum didiagnosis atau didedahkan secara rasmi, meningkat begitu ketara berbanding 2.9 juta pada 2019.

Pandemik Covid-19 memburukkan lagi keadaan bagi pengidap Tibi, disebabkan dana kesihatan beralih bagi menangani pandemik itu dan pesakit berdepan kekangan untuk mendapatkan rawatan kerana sekatan.

Laporan WHO itu turut mendedahkan, perbelanjaan global bagi diagnosis, rawatan dan pencegahan Tibi menunrun dari AS$5.8 bilion (RM24 bilion) pada 2019 kepada AS$5.3 bilion (RM22 bilion) setahun kemudian.

WHO menjelaskan, terdapat juga penurunan dari segi jumlah mereka yang mendapatkan rawatan pencegahan, iaitu 2.8 juta orang pada 2020, menurun 21 peratus berbanding 2019.

“Laporan ini mengesahkan kebimbangan kami bahawa gangguan perkhidmatan kesihatan berlaku kerana Covid-19 itu biarpun kemajuan sudah dicapai sejak bertahun-bertahun lalu dalam mengawal Tibi,” kata Tedros.

Laporan WHO itu turut menyebut, kira-kira 1.5 juta orang meninggal dunia akibat Tibi pada 2020, termasuk 214, 000 di antara mereka positif HIV. Jumlah itu meningkat berbanding 1.2 juta pada 2019, dengan 209,000 daripadanya positif HIV.

Selain itu, laporan itu menyebut, peningkatan jumlah kematian akibat Tibi berlaku terutamanya di 30 negara yang merekod kadar tertinggi kes Tibi.

Tibi adalah penyakit berjangkit paling membunuh selepas Covid-19, disebabkan serangan bakteria terhadap paru-paru.

Sebilangan besar kes Tibi berlaku di 30 negara, kebanyakannya negara miskin di Afrika dan Asia, dan lebih daripada separuh kes baru menjangkiti lelaki dewasa.

Wanita menyumbang 33 peratus kes jangkitan sementara kanak-kanak, 11 peratus.

Matlamat WHO adalah untuk mengurangkan kematian akibat Tibi sehingga 90 peratus dan kadar jangkitan 80 peratus menjelang 2030 berbanding 2015, namun angka jangkitan terbaru menggugat usaha itu.

Unjuran juga menunjukkan jumlah mereka yang dijangkiti dan meninggal dunia jauh lebih tinggi pada tahun ini dan 2022.

Related posts

Leave a Comment