Malaysia catat 7,276 kes baharu

PUTRAJAYA 12 Okt. – Angka harian kes Covid-19 terus berada di bawah 8,000 apabila sebanyak 7,276 jangkitan baharu dilaporkan, hari ini, yang turut menunjukkan peningkatan berbanding 6,709 semalam.

Sebanyak 10 kes import dilaporkan melibatkan lapan bukan warganegara dan dua warganegara manakala kes tempatan pula melibatkan 6,869 warganegara (94.5%) dan 397 bukan warganegara (5.5%).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu membawa kepada jumlah keseluruhan 2,353,579 kes Covid-19.

Beliau memaklumkan, kes baharu terbabit adalah daripada 156,567 ujian pengesanan Covid-19 yang dilakukan, dengan kadar positif sebanyak 4.65 peratus, iaitu mematuhi kadar lima peratus ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Noor Hisham berkata, 14 kluster baharu dilaporkan, hari ini, meliputi enam kluster di tempat kerja, komuniti (lima), institusi pendidikan (dua) dan kumpulan berisiko tinggi (satu) membabitkan 266 individu dijangkiti.

Hingga pukul 12 tengah hari tadi, 10,555 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhannya 2,217,057 kes.

Sebanyak 724 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), 398 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada 7,276 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 150 kes (2.1 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 7,126 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Related posts

Leave a Comment