Berucap buka pelitup muka

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Dewan Rakyat hari ini membenarkan semua Ahli Parlimen untuk membuka pelitup muka ketika sesi perbahasan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Parlimen.

Berdasarkan penilaian risiko, KKM berpandangan, pelitup muka ketika perbahasan di dalam Dewan Rakyat dibenarkan untuk dibuka.

“Tetapi ahli-ahli Yang Berhormat diingat memakai semula pelitup muka dengan kadar segera selepas berucap,” katanya di Dewan Rakyat.

Pada masa yang sama, Azhar memaklumkan tiada sebarang kes positif dikesan di pekarangan Parlimen sepanjang persidangan berlangsung sejak 4 Oktober lalu.

Ia hasil ujian RT-PCR dan RTK Antigen yang dijalankan ketika tempoh persidangan.

Sebelum ini, Azhar memaklumkan semua Ahli Parlimen tidak dibenarkan menanggalkan pelitup muka ketika bercakap atau berbahas serta menggalakkan pemakaian pelitup muka berganda dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Sementara itu, seorang Pakar Perubatan Respiratori, Dr Helmy Haja Mydin mempersoal keputusan membenarkan Ahli Parlimen berbahas tanpa memakai pelitup muka.

Beliau menegaskan, tujuan utama memakai pelitup muka adalah untuk mengelakkan tersebarnya aerosol.

“Apa tujuan utama memakai semula topeng muka selepas bercakap?

Tujuan utama (topeng muka) adalah untuk mengurangkang pelepasan aerosol,” kongsinya di Twitter.

Related posts

Leave a Comment