21 juta lengkap vaksinasi

PUTRAJAYA 11 Okt. – Kira-kira 1.224 juta atau 5.2 peratus penduduk dewasa di seluruh negara belum divaksin.

Setakat malam tadi, 21,073,482 individu dewasa di negara ini lengkap divaksinasi, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus yang ditetapkan.

Peratusan itu dicapai selepas 70,408 individu melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka semalam, yang membolehkan perjalanan rentas negeri dan keluar negara,

Berdasarkan laman web COVIDNOW, setakat pukul 11.59 malam tadi seramai 22,185,520 individu dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu mengikut data yang dikongsikan, Sabah adalah negeri yang terendah dari segi jumlah populasi dewasanya yang lengkap divaksinasi iaitu 65.1 peratus, diikuti Kelantan (73.6 peratus), Kedah (79.5 peratus) dan Perak (79.8 peratus).

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, pihaknya optimis semua negeri akan mencapai kadar vaksinasi lengkap 80 peratus pada bulan ini, kecuali Sabah.

Susulan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggiatkan program jangkau luar (outreach) di negeri itu, termasuk kempen gerak vaksinasi kepada masyarakat.

Bagi vaksinasi untuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 7.4 peratus sudah lengkap divaksinasi membabitkan 231,714 individu, sehingga semalam, manakala 72.2 peratus atau kira-kira 1.27 juta sudah menerima satu dos vaksin.

PICK Remaja dimulakan secara rasmi pada 20 September lalu, yang mensasarkan 3.2 juta remaja di negara ini untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Related posts

Leave a Comment