Singapura catat 3,590 kes baharu

SINGAPURA 9 Okt. – Kes baharu Covid-19 di Singapura mencecah 3,590 serta merekodkan enam lagi kematian setakat pukul 12 tengah hari semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 120,454 dan 142 kematian sejak pandemik melanda.

Dalam kenyataan malam tadi, MoH memaklumkan, mereka yang meninggal dunia berusia antara 67 dengan 93 tahun melibatkan tiga lelaki dan tiga wanita .

Dua daripada mereka tidak divaksin, tiga pula hanya mendapat satu suntikan vaksin dan seorang lagi lengkap divaksin.

Lima daripada mereka mempunyai pelbagai masalah kesihatan manakala seorang pesakit yang hanya menerima satu dos vaksin tidak mempunyai sebarang keadaan perubatan yang diketahui.

Dalam kalangan kes baharu itu, 3,590 adalah kes jangkitan tempatan termasuk 2,825 kes dalam masyarakat dan 765 di asrama pekerja asing.

Sementara itu sebanyak 1,564 pesakit dimasukkan ke hospital dengan sebahagian besar berada dalam keadaan baik dan dipantau.

Terdapat 307 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan 41 di unit jagaan rapi (ICU) di mana dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 291 berusia lebih 60 tahun.

Related posts

Leave a Comment