Penyandang Pulau Tikus tarik diri

TANJONG 25 Julai – Menjelang pengumuman calon DAP bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang petang ini, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit, mengumumkan menarik diri daripada menjadi calon berikutan masalah kesihatan.

Menurut Chun Kit, 41, keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dalam PRN itu juga dibuat selepas beliau berunding dengan pemimpin parti serta keluarga.

Melalui kenyataan di Facebook, beliau memaklumkan mengalami penurunan berat badan paling rendah sepanjang hidupnya ketika musim pandemik Covid-19 sekitar 2021 dan hasil ujian darah mengesahkan beliau menghidap ‘hipertiroidisme’ yang juga penyakit keturunan dalam keluarganya.

“Saya telah menguruskan keadaan diri dan kawasan pilihan raya saya sebaik mungkin, tetapi pada masa ini selepas berunding dengan pemimpin parti dan keluarga, saya memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding.

Mempunyai ibu bapa warga emas dan adik perempuan autistik yang bergantung kepada saya, memerlukan saya untuk membuat keputusan sukar ini dan harus meletakkan kesihatan sebagai keutamaan.

“Saya berharap apabila akhirnya selesai dengan perkara ini, saya boleh kembali berkhidmat kepada rakyat semula,” katanya.

Chun Kit turut memuat naik gambar menunjukkan keputusan ujian hormon tiroid iaitu tiroksin (T4) yang menunjukkan tahap bacaan hampir tiga kali ganda berbanding julat normal.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada calon Pakatan Harapan (PH) seterusnya untuk Pulau Tikus dan saya akan sentiasa menyokong beliau dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pemimpin parti, keluarga, rakan-rakan dan semua yang menyokongnya untuk tempoh ‘lima tahun yang indah’ sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus.

Related posts

Leave a Comment