Malaysia hati-hati buka sempadan

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Kerajaan tidak akan membuka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya sebaliknya sentiasa berhati-hati dalam memberikan kelonggaran dengan mengambil kira perkembangan di seluruh dunia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran kemasukan pengembara bukan warganegara juga bergantung kepada maklumat situasi Covid-19 dari negara asal mereka.

“Kalau kita lihat dari segi sejarahnya walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara itu juga diambil kira.

“Setiap tindakan kerajaan kita dapat pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang buat penilaian risiko, kita tidak buka (sempadan) sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kebenaran masuk adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat-syarat yang ditetapkan, termasuk keperluan menjalani kuarantin di pusat-pusat yang disediakan.

Beliau berkata di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara ini.

“Bermula 12 Ogos lalu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan menjalani kuarantin wajib di rumah atau di tempat kediaman.

“Namun, kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh pihak KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diberi kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Razali Idris mengenai persediaan membuka sempadan negara sebaik kadar kes harian Covid-19 berkurangan.

Ismail Sabri berkata, persediaan melalui garis panduan terperinci serta penilaian risiko oleh KKM akan dijalankan terhadap setiap pengembara berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau di tempat kediaman.

Katanya, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan terhadap pematuhan SOP, meningkatkan penerapan amalan kawalan kesihatan awam serta menekankan kepentingan suntikan imunisasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Related posts

Leave a Comment