106 kes baharu Brunei Darussalam

BERAKAS 6 Okt. – Brunei Darussalam hari ini merekodkan 106 kes baharu Covid-19 dengan satu kes meninggal dunia dan tiga kluster baharu dikesan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 8,150 dan 39 kematian.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar kes kematian melibatkan seorang wanita berusia 71 tahun yang mengalami masalah paru-paru selepas dijangkiti Covid-19 dan dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong.

Katanya, sebanyak 106 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam termasuk dua kes import.

Sebanyak 41 tambahan kes baharu itu melibatkan 10 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat bersama beberapa kes positif sebelumnya.

Dalam pada itu, tiga kluster baharu dikesan, di mana kesemuanya adalah kluster rumah persendirian yang melibatkan sembilan kes.

Dr. Md Isham memaklumkan satu kluster ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari menjadikan jumlah kluster aktif 146.

Sementara itu, dua kes import melibatkan satu kes ketibaan dari Manila melalui penerbangan Royal Brunei BI 684 pada 29 September dan satu lagi dari Morocco melalui Malaysia menggunakan Royal Brunei BI 874 pada 22 September lalu.

“Dalam pada itu sebanyak 54 kes lagi masih dalam siasatan punca jangkitan,” katanya.

Sebanyak 140 kes dilaporkan sembuh hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 5,774 manakala jumlah kes aktif 2,315.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, lima kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung machine (ECMO).

Sementara itu, 36 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Related posts

Leave a Comment