PPV WTCKL ditutup

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Selepas beroperasi 150 hari, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, ditutup secara rasminya malam tadi.

Keputusan itu diambil selepas sebahagian rakyat negara ini sudah menerima vaksinasi di mana 1.2 juta dos vaksin diberikan di PPV berkenaan sepanjang ia beroperasi sejak 5 Mei lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata kewujudan PPV mega sudah mencapai matlamatnya untuk memberi vaksin kepada rakyat dalam jumlah yang besar setiap hari.

“PPV mega seperti WTCKL ini sudah mencapai matlamat dan hari ini kita tutup PPV yang paling banyak memberikan vaksinasi di Malaysia.

“Kita juga pada masa ini sedang menutup PPV lain secara berperingkat mengikut keperluan di sesebuah kawasan,” katanya selepas secara simbolik menutup pintu PPV AstraZaneca Malaysia di WTCKL, malam tadi.

Khairy berkata, beberapa PPV masih dibuka bagi program vaksinasi remaja, manakala klinik kerajaan dan swasta akan dijadikan PPV melibatkan dos ketiga dan dos penggalak.

Kementeriannya akan bermesyuarat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membincangkan supaya beberapa PPV lain terus dibuka khusus untuk mereka yang masih belum menerima vaksin atau warga asing.

Terdahulu, Khairy berterima kasih kepada semua petugas Barisan Hadapan dan sukarelawan yang berkhidmat di PPV itu.

“Paling istimewa sekali di Lembah Klang, angka jangkitan sudah mula menurun dengan sangat mendadak selepas hari ini kita lihat jumlah kes 9,000 sehari berbanding kemuncaknya semasa saya baru dilantik ada lebih 23,000 kes.

“Ini sebab anda semua, apa yang anda buat selamatkan nyawa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment