62.5 % pelajar terima dos pertama

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Sebanyak 62.5 peratus pelajar berusia antara 12 hingga 17 tahun di seluruh negara sudah menerima dos pertama vaksin sehingga semalam, kata Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mah Hang Soon.

Beliau memberitahu, bagi tempoh sama, sebanyak 7.4 peratus pelajar sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Labuan mencatatkan peratusan menerima vaksin paling tinggi bagi golongan pelajar berkenaan dengan lebih 90 peratus peratus sudah menerima suntikan vaksin dos pertama dan 25.4 peratus pula sudah lengkap menerima dos kedua.

Manakala Selangor pula mencatatkan peratusan pemberian vaksin yang agak rendah berbanding jumlah keseluruhan dengan 30.8 peratus menerima dos pertama, manakala 3.3 peratus pula sudah lengkap menerima suntikan dos kedua.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan hari pertama pengoperasian sekolah bagi pelajar Tingkatan Enam Semester Dua serta pelajar berkeperluan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik, Ampang , hari ini.

Hang Soon berkata, pihaknya mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan bagi melihat sesi pembukaan sekolah hari ini.

“Berdasarkan pemerhatian, saya mendapati proses kehadiran serta pembelajaran di sekolah ini berjalan lancar dengan semua 68 pelajar Tingkatan Enam Semester Dua di sekolah ini hadir pada hari ini.

“Di sekolah ini, terdapat seramai 88 pelajar berkeperluan khas dan 61 daripada mereka sudah mengisi borang menyatakan setuju untuk hadir ke sekolah, namun hanya 30 pelajar yang hadir pada hari ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment