5,000 kes harian minggu depan

SINGAPURA 3 Okt. – Bilangan kes harian Covid-19 di Singapura dijangka meningkat kepada lebih 5,000 kes pada minggu hadapan dengan jumlah kes dalam masyarakat sekarang ini naik seganda setiap 10 hari.

Pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian mengenai Covid-19, Gan Kim Yong berkata, bergantung kepada peningkatan kadar jangkitan itu, kes harian di Singapura mungkin meningkat kepada lebih 5,000 minggu depan.

“Sungguhpun demikian, sebahagian besar dijangka tidak akan menunjukkan gejala atau mengalami gejala ringan dan boleh sembuh dengan pantas di rumah,” katanya.

Kementerian Kesihatan (MoH) dalam kenyataan medianya berkata, walaupun jumlah kes harian semakin meningkat, kadar peningkatan nampaknya perlahan sedikit.

“Tempoh kes dalam masyarakat naik seganda kini lebih panjang dari sekitar lapan hari kepada kira-kira 10 hari,” kata MoH.

Sementara itu Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata, Singapura perlu memperhalusi protokol jagaan kesihatannya.

“Protokol ujian dan pengasingan QO (perintah kuarantin), HRW (amaran risiko kesihatan), HRA (kewaspadaan risiko kesihatan), RRT (rutin ujian berkala) … diperkenalkan semasa kita sedang cuba membendung penularan setiap kelompok yang dikesan dan dikenal pasti,” terang beliau.

“Kita kini berada di kedudukan yang berbeza, sedang kita menempuh dengan selamat gelombang penularan ini untuk bangkit lebih teguh dan kukuh dan mampu hidup dengan Covid-19.”

Protokol-protokol itu “banyak dan rumit bagi mereka di luar sana”, kata  Ong dan bagi mereka, ia “mengelirukan, bahkan mengecewakan”.

Pasukan bertindak sedang menyemak protokol-protokol “secara menyeluruh” dan akan membentangkannya tidak lama lagi.

Beliau juga berkata, terdapat “bukti kukuh” yang menunjukkan vaksinasi berupaya melindungi individu daripada penyakit teruk.

Bilangan kes lengkap divaksin yang memerlukan jagaan rapi atau meninggal dunia adalah sekitar 14 kali lebih rendah berbanding mereka yang belum divaksin.

Related posts

Leave a Comment