Thailand sasar suntik 5.4 juta pelajar

BANGKOK 3 Okt. – Kementerian Pendidikan Thailand menyasarkan untuk menyuntik 5.4 juta pelajar berusia 12 hingga 17 tahun menggunakan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech mulai esok.

Langkah itu adalah susulan rancangan membuka semula institusi pendidikan pada bulan depan.

Tinjauan Kementerian Pendidikan mendapati sekurang-kurangnya 3.68 juta pelajar sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan vaksinasi dan sekurang-kurangnya 85 peratus guru dan staf harus menerima dos lengkap sebelum sesi persekolahan bermula.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand baru-baru ini meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas dan Jabatan Kawalan Penyakit memberi jaminan bekalan vaksin itu mencukupi bagi menampung keperluan pelajar di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Penyakit dan Bahaya Kesihatan di Jabatan Kawalan Penyakit Dr Chawetsan Namwat berkata tambahan lapan juta dos vaksin dijangka tiba akhir bulan ini.

“Kami berharap dapat menyuntik sekurang-kurangnya 70 peratus pelajar sekolah dan universiti bulan ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Royal College of Pediatricians sejak 1 April hingga 25 Ogos tahun ini, sejumlah 114,039 warga Thailand berumur di bawah 18 tahun positif Covid-19.

Sejak gelombang ketiga pada 1 April hingga 25 Ogos, wakil presiden institusi itu Radeewilai Samkoses berkata secara keseluruhan 1,073,505 orang positif dengan 10,085 kematian dilaporkan.

Related posts

Leave a Comment