Kes harian Singapura cecah 2,909

SINGAPURA 2 Okt. –  Selama seminggu, jumlah kes jangkitan Covid-19 di Singapura terus menunjukkan peningkatan apabila semalam merekodkan 2,909 kes dengan lapan kematian akibat komplikasi disebabkan koronavirus itu.

Di samping itu, semalam terdapat juga 12 kes import, dengan tujuh daripada mereka dikesan semasa tiba di Singapura dan baki lima mula sakit semasa menjalani notis jangan keluar rumah atau pengasingan.

Dengan perkembangan ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 99,430 dan jumlah meninggal dunia pula 103 orang.

Menurut rekod, jumlah kes semalam adalah yang tertinggi selepas 2,478 kes pada hari Khamis (30 Sept.) dan sebelumnya 2,268 (29 Sept.), 2,236 (28 Sept.), 1,647 (27 Sept.), 1,939 (26 Sept.) dan 1,443 (25 Sept.).

Kenyataan Kementerian Kesihatan (MoH) malam tadi memaklumkan mereka yang meninggal dunia semalam  terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warga Singapura dan warga emas berusia antara 66 dengan 96 tahun.

Empat daripada mereka belum divaksin terhadap Covid-19, dua belum lengkap di vaksin manakala baki dua lagi sudah lengkap divaksin. Kesemuanya mempunyai pelbagai penyakit sedia ada.

MoH menyatakan daripada kes-kes baharu yang dilaporkan pada Jumaat, sebanyak 2,897 adalah kes tempatan, terdiri daripada 2,079 kes dalam masyarakat dan 818 penghuni dormitori pekerja hijrahan.

Daripada kes itu, sebanyak 556 merupakan warga emas berusia lebih 60 tahun.

Sementara itu, seramai 1,356 pesakit sedang berada di hospital, dengan kebanyakannya beransur pulih dan dipantau.

Dalam kalangan mereka termasuk 222 kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen, naik sedikit daripada 204 yang dicatat pada Khamis (30 Sept.) manakala 34 pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Menurut MoH, daripada mereka yang sakit teruk, 214 adalah warga emas berusia lebih 60 tahun, berbanding 197 dalam lingkungan usia itu yang dilaporkan pada Khamis.

Sepanjang 28 hari lalu, jumlah kes tempatan yang tidak bergejala atau mengalami simptom ringan adalah 98.2 peratus.

Dalam tempoh yang sama, 471 kes memerlukan sokongan oksigen, 52 berada di ICU dan daripada jumlah tersebut, 51.1 peratus sudah lengkap divaksin dan 48.9 peratus belum divaksin atau belum lengkap divaksin.

Related posts

Leave a Comment