Jangan berborak sambil minum

SINGAPURA 2 Okt. – Selepas warga emas dinasihatkan supaya duduk di rumah, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) semalam menasihatkan golongan itu tidak makan di premis atau berborak sambil minum di pusat penjaja.

Golongan itu digalakkan menempah makanan untuk dibawa pulang dan bukan duduk makan di premis di tengah-tengah kenaikan kes Covid-19.

“Mereka khususnya harus mengelakkan makan di luar atau berborak sambil minum di pusat penjaja buat masa ini,” kata NEA dalam kenyataan.

Menurut NEA, warga emas boleh menimbangkan untuk meminta anggota keluarga serumah membelikan makanan untuk mereka.

Nasihat itu dikeluarkan sehari selepas Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) menggesa warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, serta mereka yang tinggal bersama warga emas, duduk di rumah selama empat minggu akan datang untuk mengurangkan kemungkinan dijangkiti Covid-19.

Daripada 2,474 kes baharu tempatan Covid-19 pada Khamis, sebanyak 535 adalah warga emas berusia lebih 60 tahun.

Pada September sahaja, terdapat 40 kematian Covid-19 di mana semua kecuali seorang daripada mereka, berusia lebih 60 tahun.

Menurut NEA, kenaikan kes baru-baru ini menyaksikan warga emas berdepan risiko lebih tinggi mengalami komplikasi kesihatan yang serius jika dijangkiti.

NEA juga menggesa semua pengunjung pasar dan pusat penjaja untuk mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) termasuk memakai semula pelitup muka sebaik saja selesai makan.

Pada masa yang sama, NEA sudah memperhebat rondaan penguatkuasaannya di pasar dan pusat penjaja, dan mengeluarkan lebih 300 denda kepada mereka yang gagal mendengar nasihat tentang SMM.

Related posts

Leave a Comment