PUTRAJAYA 2 Okt. – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 121 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 direkodkan setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 26,456 kematian.
Angka tersebut adalah 1.17 peratus daripada 2.25 juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.
Data KKM di portal COVIDNOW menunjukkan sejumlah 28 daripada 121 kes kematian yang dilaporkan itu berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).
Jumlah kematian yang dilaporkan itu turut merangkumi sejumlah kes tertunggak kerana ada di antara kes meninggal dunia itu berlaku beberapa minggu lalu.
Berdasarkan purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, trend kematian pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Setakat semalam, sejumlah 62.4 peratus daripada keseluruhan populasi negara sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dan 72.4 peratus pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos.
Daripada 121 kes kematian yang dilaporkan semalam, 25 daripadanya adalah di Sarawak, ini diikuti Johor dan Sabah dengan masing-masing (17), Selangor dan Kelantan (15), Perak dan Kuala Lumpur 7, Pulau Pinang dan Kedah (6), Perlis (3), Terengganu (2) dan Pahang (1).
Negeri dan Wilayah yang mencatatkan sifar kes kematian semalam adalah Melaka, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.
