Singapura catat peningkatan kes

SINGAPURA 30 Sept. –  Singapura terus melaporkan pertambahan kes jangkitan baharu Covid-19 apabila merekod 2,268 kes termasuk 10 kes import setakat tengah hari semalam berbanding 2,236 yang direkodkan pada hari sebelumnya.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), pada masa yang sama, lapan kematian direkodkan melibatkan lima lelaki dan tiga wanita, kesemuanya rakyat Singapura berusia antara 72 dengan 90 tahun.

Enam daripada mereka belum divaksin, seorang pula sudah menerima satu suntikan manakala seorang lagi sudah lengkap divaksin. Kesemua mereka menghidap pelbagai masalah kesihatan.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 94,043 orang dan 93 kematian di mana pada bulan ini sahaja, 38 kematian direkodkan.

Daripada kes-kes baharu yang dilaporkan semalam, sebanyak 2,258 adalah kes jangkitan tempatan yang terdiri daripada 1,810 kes dalam masyarakat dan 448 kes di asrama pekerja asing.

Dalam kenyataan malam tadi, MoH menyatakan terdapat 1,335 pesakit yang dirawat di hospital dengan sebahagian besar mereka dalam keadaan pulih dan di bawah pemantauan.

Dalam kalangan pesakit itu, 197 adalah kes yang memerlukan bantuan pernafasan dan lagi 34 dalam keadaan tenat di Unit Jagaan Rapi (ICU).

Mereka yang sakit  teruk adalah 192 warga emas berusia lebih 60 tahun.

Daripada kes-kes itu, 50.3 peratus sudah divaksin sepenuhnya dan 49.7 peratus belum divaksin atau belum lengkap divaksin.

Related posts

Leave a Comment