986 di ICU 574 bantuan pernafasan

PUTRAJAYA 28 Sept. – Sebanyak 986 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu  848 kes Covid-19 dan 138 kes disyaki berkemungkinan dan kes dalam siasatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 574 kes memerlukan bantuan pernafasan iaitu 369 kes Covid-19 serta 205 kes disyaki, berkemungkinan dan kes dalam siasatan.

Dalam satu kenyataan media, hari ini, beliau berkata, jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 mencecah 2,220,526 kes setakat ini termasuk 11,332 kes positif yang direkodkan hari ini.

Katanya, daripada jumlah yang dicatatkan hari ini, sebanyak 11,309 kes penularan tempatan iaitu membabitkan 10,475 warga negara (92.6 peratus) dan 834 lagi warga asing (7.4 peratus).

Beliau berkata, 23 kes import pula membabitkan 18 warga negara dan lima bukan rakyat negara ini.

“Daripada 11,332 kes harian yang dilaporkan hari ini, 11,085 kes (97.8 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala 247 kes (2.2 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan sebanyak 14,160 kes sembuh sepenuhnya, yang menyumbang kepada sejumlah 2,020,099 kes kumulatif atau 91.0 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19.

Pada masa sama, sebanyak 15 kluster jangkitan dikesan hari ini membabitkan sembilan kluster komuniti dan enam kluster di tempat kerja.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini sebanyak 5,447 kluster dikesan sejak tahun lalu dengan 4,296 kluster sudah ditamatkan manakala 1,151 kluster masih aktif.

Related posts

Leave a Comment