Pandemik jejas perkahwinan, kelahiran

SINGAPURA 28 Sept. –  Pandemik Covid-19 menyebabkan jumlah kelahiran dan perkahwinan rakyat Singapura kurang pada tahun lalu yang menjejas perancangan sebahagian pasangan untuk berumah tangga atau mendapatkan cahaya mata.

Menurut Laporan oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) itu,  terdapat 19,430 perkahwinan rakyat Singapura pada 2020, kira-kira 12.3 peratus lebih rendah berbanding 22,165 yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Sekatan yang dikenakan ke atas perhimpunan besar pada tahun lalu mungkin menyebabkan banyak pasangan menangguhkan perkahwinan mereka.

Perkahwinan rakyat Singapura melibatkan pasangan berlainan negara, juga susut dari 37 peratus pada 2019 kepada kira-kira 30 peratus tahun lalu.

Kemerosotan itu mungkin sebahagiannya disebabkan oleh sekatan perjalanan berkaitan Covid-19.

Kemerosotan terbesar dari tahun ke tahun adalah pada suku kedua apabila pernikahan secara bertemu muka perlu ditunda semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Bagaimanapun apabila sekatan Covid-19 dilonggarkan menjelang hujung tahun lalu dan lebih ramai tetamu dibenarkan ke majlis pernikahan dan jamuan perkahwinan, lebih ramai pasangan melangsungkan perkahwinan.

Selepas itu, 7,700 perkahwinan rakyat Singapura berlangsung pada suku keempat 2020 berbanding 6,900 pada tempoh sama setahun sebelumnya.

Sementara itu, terdapat 31,816 kelahiran rakyat Singapura pada 2020, iaitu 3.1 peratus lebih rendah berbanding 32,844 kelahiran pada tahun sebelumnya. Ini adalah jumlah kelahiran rakyat yang terendah sejak 2013.

Related posts

Leave a Comment